Friday, November 11, 2011

apa khabar jiranmu??


apa khabar jiranmu??
Syurga adalah sebuah tempat yang cukup indah. Ianya menjadi akhir perjalanan bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh kepada Allah s.w.t dengan hati yang ikhlas. Hati yang mengharapkan pertemuan dengan Allah s.w.t serta mengharapkan keredhaan-Nya.
          Syurga adalah ganjaran dan balasan baik yang akan kekal dan tidak akan binasa untuk selama-lamanya. Orang yang masuk ke dalam Syurga akan senantiasa sejahtera, tidak akan merasa sakit dan juga tidak akan menjadi tua. Di Syurga tiada kepayahan yang dirasakan, melainkan hanya kenikmatan dan kesenangan belaka.
          Mendapatkan Syurga yang indah bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak ujian dan permasalahan yang perlu diharungi. Aku teringat sebuah hadis shahih, Rasullullah s.a.w pernah bersabda dalam ucapannya yang mulia, bahawa Syurga itu dicipta dengan dikelilingi oleh perkara yang dibenci oleh hawa nafsu manusia.
          Contohnya, ibadah solat, puasa dan zakat. Hawa nafsu lebih suka untuk meninggalkan ibadah-ibadah tersebut daripada melakukannya. Itu satu hakikat yang tidak boleh ditolak. Hanya orang ikhlas dan dapat dapat melawan hawa nafsunya saja yang mampu melaksanakan perintah Allah s.w.t dan  meninggalkan larangan-Nya.
          Maka dengan itu aku sering berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan ikhlas dengan harapan dapat melihat wajah Allah s.w.t pada hari akhirat di dalam Syurga. Aku sering melakukan solat lima waktu, berpuasa dan mendirikan solat malam. Aku jarang bergaul dengan manusia dan jarang juga keluar daripada rumah, kecuali terdapat keperluan atau sesuatu urusan kerja dan sebagainya.
          Begitulah rutin kehidupan aku setiap hari, sehinggalah suatu hari yang menyedarkan aku. Ketika itu aku sedang duduk diluar Masjid Bandar Kota Kinabalu yang terletak di atas bukit, selepas menunaikan solat zohor.
          “Apakah khabar jiranmu?” tanya lelaki tua yang berkopiah putih itu selepas bertanya tentang keadaan Aku. Pada wajahnya nyata garis-garis usia yang semakin lanjut dan rambut putihnya yang timbul di kepala.
          Aku terkedu mendengar soalan lelaki itu. Mulutku diam tidak menjawab. Pelik. Apakah gerangannya orang tua ini sehingga bertanya tentang jiranku pula? Apakah kaitan kehidupan jiran dengan aku.
          “Entah, saya pun tidak pasti, pak cik.” Jawabku sambil mengangkat bahu setelah mulut terkunci seketika.
          Lelaki tua itu senyum memandang ke arah ku. Daripada wajahnya jelas terpancar cahaya ketenangan hidup dan kebahagiaan. Seolah-olah dia tidak pernah mempunyai masalah. Mungkin.
           “Untuk mendapatkan Syurga dan redha Allah s.w.t, tidak cukup kita dengan hanya menghubungkan diri dengan Allah s.w.t.” kata lelaki tua itu sambi merapatkan kedua tangannya.
          “Maksud pak cik?” tanya ku sambil membetulkan posisi duduk menghadap kepadanya. Aku tidak begitu faham maksud disebalik ucapannya, menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
          “Untuk mendapatkan Syurga dan redha Allah s.w.t, kita perlukan dua perkara. Pertama, menghubungkan diri dengan Allah s.w.t. Kedua, kita hendaklah menghubungkan diri dengan manusia dengan cara yang diredhai-Nya.” Jawab lelaki tua itu dengan tenang.
          Aku diam mengangguk, walaupun masih kurang faham kerana hendak menjaga hati lelaki tua itu.
          “Ada orang, kuat ibadah tapi dia masuk neraka.” Tambah lelaki tua itu. Jantung ku terasa seperti berhenti seketika. Terkejut mendengar kata-kata lelaki tua itu. Benak ku terasa ragu dengan kata-katanya. Bagaimana orang yang kuat ibadah kepada Allah s.w.t dengan solat, puasa, zakat dan sebagainya boleh masuk neraka?
“Bagaimana orang yang kuat ibadah boleh masuk neraka?”
Lelaki tua itu diam mendengar persoalanku. Dia memalingkan wajahnya ke arah kenderaan dan orang ramai yang bergerak di jalan raya yang terletak di kaki bukit Masjid Bandar itu.
“Kerana dia tidak menjaga hubungan dengan jirannya.” Luah lelaki tua itu dengan suara yang serak-serak basah, lalu dia membaca sebuah hadis, bahawa pernah suatu ketika Rasulullah s.a.w ditanya perihal seorang wanita yang kuat beribadah, mendirikan solat pada malam hari dan berpuasa pula pada siangnya, namun pada masa yang sama dia menyakiti jirannya dengan lisannya.
Sejurus itu juga perasaan ku diserang satu rasa kurang enak. Hatiku bagaikan tertikam dengan kata-katanya. Aku terfikir tentang sikap ku terhadap jiran-jiranku selama ini. Aku tidak begitu mengambil peduli keadaan jiranku. Aku hanya berfikir tentang diriku sendiri tanpa memikirkan keadaan jiran-jiranku. Terkadang terluah juga daripada lisanku, kata-kata yang kurang menyenangkan mereka, sehingga jelas terlihat pada raut wajah mereka.
Aku terdiam dan tertunduk, lalu mengangkat semula kepala ku memandangnya. Aku cuba memandang lelaki tua itu dengan senyuman yang ku ukir di bibir, namun ternyata tawar. Mungkin kerana senyuman itu bukan terpancar daripada hati, tapi hanyalah paksaan semata-mata.
“Sikap mengambil berat dan memperhatikan jiran semakin terkikis daripada jiwa masyarakat kita, sedangkan Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, tidak beriman seseorang yang kenyang sedang jirannya kelaparan.” ujar lelaki tua itu. Kata-katanya kali itu membuatkan aku tertunduk.
Benarlah kata lelaki tua itu. Semangat kejiranan sudah semakin menghilang daripada jiwa masyarakat kita pada hari ini. Kebanyakannya hanya mementingkan diri sendiri. Ada manusia yang hidup mewah, rumahnya besar, hidup dalam seharian penuh dengan makanan yang mengenyangkan, sedangkan pada masa yang sama jirannya hidup dalam serba kedhaifan, kekurangan dan sering bermalam dalam keadaan lapar. Dia tidak kenal siapa jirannya.
          Tidak usah mencari contoh yang jauh. Aku yang duduk di depan lelaki tua itu adalah contohnya terbaik untuk itu. Aku diam dan membisu. Saat itu ku merasakan diriku begitu kerdil. Amal ibadah ku yang dilakukan selama ini sememangnya belum cukup untuk mendapat keredhan-Nya, kerana ada satu sisi lain yang tercicir. Hubungan sesama manusia yang nampaknya tidak begitu sempurna.
Apabila aku menoleh kepadanya, lelaki tua itu pun memohon pergi untuk berlalu kerana ada urusan penting katanya.
          Sebelum dia beredar, sempat juga aku berkata kepadanya, “Terima kasih kerana menyedarkan saya...”



http://cerpendakwah01.blogspot.com/2011/11/apa-khabar-jiran-mu.html

No comments:

Post a Comment